Friday, April 13, 2012

Rancangan/Persahabatan Masa Hadapan

Salam.

Lama rasanya tidak mencoretkan sesuatu di sini. Saya sedang sibuk bergelumang dengan assignment yang serasanya selalu sahaja diusahakan tapi tak pernah berkesudahan. Kemudian kepenatan itu diselang seli pula dengan aktiviti menelaah buku untuk quiz yang dijadualkan tanpa henti. Selesai quiz subjek Islamic History, datang pula quiz Financial Management, selesai yang itu, datang pula yang lain. Datang dan pergi, silih berganti. Mengikut ingatan saya, semester inilah semester paling sibuk. Sibuk dengan pelbagai tanggungjawab yang sehabis boleh saya cuba melakukannya dengan baik. Ya, memang itu sahaja rungutan saya, sibuk, sibuk dan sibuk.

Saya tinggal satu semester panjang sahaja lagi untuk menamatkan pengajian saya. Pejam celik, pejam celik, 4 tahun sudah berlalu dan saya bakal meninggalkan UIAM tidak lama lagi. Ada 2 perasaan yang saling bergolak, perasaan gembira kerana akhirnya akan tamat juga pengajian ini (InsyaAllah!) dan perasaan sedih mahu meninggalkan UIAM, tempat di mana saya meluangkan paling banyak masa. Saya berkira-kira tentang halatuju saya selepas itu. Kalau diizinkan Allah, saya ingin benar menyambung pengajian saya ke peringkat Master. Sementara kudrat memikul banyak tanggungjawab dalam 1 masa masih ada dan sementara keinginan untuk menuntut ilmu masih membara.

Jika tidak diizinkan Allah, saya akan melangkah ke dunia kerjaya. Saya masih kelabu tentang yang ini, tidak tahu bidang apa yang patut saya ceburi. Mahu bekerja di pejabat dan menjadi golongan korporat atau mahu mendidik anak bangsa dan menjadi golongan akademik. Suami lebih suka saya berada di dalam linkungan yang kedua, lebih lawas ilmu dan lebih besar peluang untuk menyumbang katanya. Dia mahu saya menghasilkan novel-novel Islamik seperti yang sedang saya usahakan, dalam masa yang sama menerbitkan buku tentang Perbankan Islam dan ilmu-ilmu yang saya pelajari. Saya masih menimbang-nimbang, masih belum pasti dari arah mana saya mahu terjun ke dalam masyarakat.

Ini perihal rancangan masa depan. Lain pula fikiran saya tentang sahabat handai yang mencorak kehidupan saya di UIAM. Saya berfikir tentang silaturrahim persahabatan kami setelah perpisahan itu nanti. Risau sebenanrnya. Kalau mengikut apa yang saya alami dengan teman sebilik dulu, hubungan kami semakin renggang hampir terputus. Sebaik sahaja saya berpindah, tinggal bersama suami. 3 rakan yang lain turut terpisah, tinggal di bilik yang berlainan. Bila mana saya rasa seperti mahu melawati mereka, saya jadi buntu, ke bilik siapa harus saya singgah. Begitu juga dengan jadual mereka yang lebih 'ketat' berbanding saya. Susah benar mahu menyepakati waktu dan hari untuk bertemu. Kerisauan ini bercambah sehinggakan saya mencari-cari waktu untuk keluar beriadah bersama mereka. Moga-moga rancangan kami hari Sabtu nanti diperkenankan Allah SWT. Saya mahu hari itu menjadi memori indah yang mengikat kami semua. Walaupun jarang bertukar khabar berita, ingatan dan persahabatan tetap terpahat di dada. Walaupun jarak memisahkan jasad dari terus berjumpa, biarlah ukhuwah dan rasa cinta akan persahabatan ini terus bersatu dalam jiwa.

Saya mahu menjaga hubungan persahabatan, kerana persahabatan itu mencambahkan rasa kasih (rahmah), dan saya mahu merasai keberkatan dari perasaan kasih itu. Mahu beroleh keredhaan Allah dari usaha mengekalkan persahabatan itu. Biar fasa kehidupan bertukar, dari remaja menginjak dewasa, dari dewasa ke usia tua, persahabatan lama kekalkan dan persahabatan baru akan dialu-alukan. InsyaAllah! Ini harapan saya.


Apa pun yang Allah rencanakan untuk saya dan keluarga, saya mohon yang terbaik untuk kami. Begitu juga sahabat-sahabat yang pernah singgah dalam kehidupan ini. Walau tidak bertegur sapa atau bersua muka, saya doakan yang terbaik untuk kalian. Saya tidak mendendami sesiapa, kerana saya menyedari kesilapan dan kekurangan saya. Doanya semoga kita semua di dalam kerahmatan dan keredhaan Allah, menjadi insan yang berguna dan berbakti kepada masyarakat dan yang paling penting menyumbang kepada perjuangan Islam...dalam apa jua bidang yang diceburi.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.


p/s: InsyaAllah, di akhir semester nanti saya akan buat satu post untuk rakan-rakan. A special tribute to my precious friends! :)

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...