Sunday, February 2, 2014

Di sini Ku Temui Cinta

Salam

Alhamdulillah, hari ini genap sebulan umur Izzul Haris, anak lelaki pertama yang menjadi anak ketiga selepas Zahrah dan Wardah. Syukur saya panjatkan di atas kebahagiaan yang semakin manis. Syukur juga pada Allah atas keperitan yang semakin dirasai. Ya, saya bersyukur pada keduanya kerana manis itu mencambahkan buah kebahagiaan dan keperitan itu menguatkan akar keredhaan. Semoga Allah sentiasa mencampakkan ke dalam hati saya dan suami rasa cinta dan tanggungjawab. Ketika mana hidup ini indah, cinta menyemarakkan keadaan dan ketika mana hidup ini payah sehingga rasa cinta mula mengalah, maka kami bertongkat pada rasa tanggungjawab yang menumpaskan deduri mehnah.

Ini realiti sebuah perkahwinan, tidak semuanya indah dan tidak juga cinta yang berada di hati akan sentiasa merah. Adakalanya mehnah datang menyerang, cinta mungkin bukan tempat yang paling kuat untuk bergantung, maka kekuatan dicari dengan keterikatan pada tanggungjawab. Tarik nafas, teguhkan tali kesabaran dan pasakkan sauh keredhaan supaya hempasan ombak yang memukul tidak mampu menggoyahkan bahtera yang dibina. Layar cinta mungkin perlu ditutup seketika kerana tidak mampu mengawal tiupan angin dugaan dan cabaran.

Jujurnya, saya sedang merasa payah. Payah dalam banyak perkara yang tidak mungkin saya boleh kongsikan. Ketika ini, saya sedang mencari kekuatan melalui tanggungjawab. Ya, kebanyakan perkara yang saya lakukan sekarang ini kerana tanggungjawab dan amanah yang dipikul, bukan kerana cinta yang dulunya berputik di dalam hati. Jangan disalaherti, bukan cinta itu sudah hilang, lesap entah ke mana. Ia tetap ada, di sudut hati saya yang paling dalam tapi untuk menempuh rasa susah ketika ini, saya memerlukan kekuatan dari rasa tanggungjawab.

Kesusahan ini sedikit sebanyak telah memakan diri saya, saya melupakan banyak perkara dan meninggalkan beberapa perkara penting yang sebelum ini menjadi kesukaan saya. Mengenang kisah lalu. Saya suka begitu. Sebelum tidur, duduk bersama suami dan mula bercerita tentang bagaimana kisah cinta kami bermula dari sisi saya berdiri. Selang beberapa ketika saya akan bertanya tentang fikiran dan perasaannya ketika itu. Oh, mengenang keindahan lalu teramatlah manis. Mengenangkannya sahaja cukup membuatkan saya rindu pada suami yang sentiasa berada di sisi. Kenangan itu sentiasa menyegarkan kembali perasaan cinta saya pada suami.

Itu masa-masa yang lalu.

Ketika ini kehidupan kami sedang melalui satu fasa yang baru. Jadual kehidupan yang semakin padat dengan pelbagai tuntutan. Badan kami kepenatan. Hasilnya?. Saya sangat-sangat merasa sunyi, tidak ada teman yang mahu mendengar cerita yang mahu disampaikan. Dalam masa yang sama fikiran saya sangat bertentangan dengan apa yang dirasai hati. Saya memahami kepenatan dan amanah yang digalas suami. Terlampau banyak dan sangat membebankan. Kerana rasional inilah saya banyak memendam rasa, rasa mahu diberikan perhatian.

Kemurungan beberapa ketika, saya melayari internet, membaca semula penulisan saya di blog ini sehinggalah saya tergerak mahu membaca blog suami. Membaca blognya benar-benar membangkitkan semula rasa cinta saya pada dia. Saya jadi terkenang semula pada sebab-sebab saya memilihnya untuk berkongsi hidup, suka dan duka. Blognya mencetuskan pula ingatan pada kesungguhannya dalam perkahwinan ini. Dan Alhamdulillah, saya tahu Allahlah yang mengilhamkan saya untuk membaca penulisannya. Kerana Allah tahu, hanya dengan menatap penulisannya kegundahan hati saya akan reda.

Di blog itulah saya temukan cinta dan di blog itu jugalah Allah temukan saya dengan ketenangan dan keyakinan bahawa cinta kami sentiasa ada. Allah hanya menguji seketika untuk menjadikannya sebuah cinta yang terisi dan sarat dengan hikmah. Bukan cinta kosong yang tidak mampu memberi manfaat pada mereka yang diteduhi. Demi Allah, dalam rasa susah yang semakin menggoyah ini, saya tahu hati saya semakin hari semakin menyintai suami. Melalui dialah Allah memperkenalkan saya dengan agama, cinta dan tanggungjawab. Semoga kami bersama hingga ke syurga! Ameen.

p/s: www.ahmad-izzuddin.blogspot.com : Tempat di mana saya temui cinta.
p/s: Abang, saya berharap satu hari nanti awak akan menulis semula, dan saya akan sentiasa menjadi peminat nombor satu awak. Always. Forever.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...