Wednesday, October 30, 2013

Pendidikan Awal Kanak-Kanak

Salam

Ramai juga yang bertanya kepada saya bagaimana saya mendidik anak-anak. Bukan kerana saya pakar dalam pendidikan kanak-kanak tapi saya rasa soalan itu diajukan kerana saya terlebih dahulu mempunyai anak berbanding kawan-kawan yang sebaya. Menjadi seorang ibu memerlukan daya kreativiti yang tinggi kalau tak mahu anak-anak tiba-tiba memberontak bosan duduk di rumah atau mogok tidak mahu makan nasi, hanya mahu memilih ayam atau lauk pauk sahaja. Jadi, walaupun hanya duduk di rumah, kepala saya ligat berputar memikirkan 'strategi' untuk mendidik anak-anak.

Pemerhatian:

Saya memang selalu memerhatikan kecenderungan anak-anak. Apa yang lebih menjadi keutamaan buat Zahra dan apa yang menjadi kegembiraan buat Wardah. Dari situ saya akan membeza-bezakan keperluan mereka mengikut keadaan dan masa. Misalnya sewaktu makan, Wardah tidak mempunyai masalah langsung untuk makan tapi Zahra perlu ada perbualan dan pujukan ketika makan, barulah dia tidak memilih makanan. Sama seperti bermain, Wardah hanya cukup diberikan mainan untuk dia perhatikan dan terokai manakala Zahra memerlukan komunikasi ketika bermain. Saya perlu sama-sama melakonkan watak di dalam khayalannya. tetapi berbeza dengan waktu tidur, Zahra dengan mudah melelapkan mata tanpa perlu didodoikan, berbeza dengan Wardah yang mengambil masa yang sangat lama untuk di dodoi.





Unik:

Setiap anak itu unik. Jadi cara mendidik mereka juga berbeza. Saban hari ada sahaja telatah Zahra dan Wardah yang baru dan perlu saya pelajari. Malahan kepekaan mereka terhadap sesuatu memerlukan saya juga menjadi peka. Misalnya apabila mahu mengajar Zahra beza antara lelaki dan perempuan. Saya membuat kronologi secara tersusun yang saya rasa mudah untuk dia fahami. Abi lelaki, ada janggut, ada misai maka Abi handsome. Mama perempuan, tak ada janggut dan tak ada misai maka Mama cantik. Pada permulaannya, Zahra akan menyebut kronologi yang diajar secara turutan, lama kelamaan terus dia menyimpulkan ayatnya dan mengeluarkan satu penyataan yang betul. Dia juga kini sudah pandai mengaitkannya dengan individu selain Mama dan Abi seperti nenek, pakcik dan abang.

Begitu juga Wardah, dia lebih sensitif terhadap persekitaran dan lebih suka memerhati. Kebanyakkan masanya memang saya dapat lihat dahi Wardah berkerut memikirkan sesuatu. Kadang kala kelakar juga melihat di se-serius itu, lagaknya seperti orang dewasa. Jadi bila saya lihat dia sedang berkerut-kerut dahi, saya akan cuba pastikan apa yang dia perhatikan seterusnya memberi respond pada pemerhatian tersebut. Kalau saya lihat Wardah sedang ralit memerhatikan kipas, cepat-cepat saya memberitahunya, "Itu kipas". Menyebut perkataan kipas dengan jelas dan satu persatu supaya mudah di tangkap. Alhamdulillah, sekarang bila saja saya sebut beberapa objek, Wardah akan tersenyum dan terus menunjuk atau memandang objek tersebut tanda dia faham dengan apa yang diperkatakan.




Mematangkan:

Ada yang bertanya pada saya, bagaimana saya mengajar Zahra petah bercakap. Secara jujurnya saya tidak ada tips yang khusus. Jadi langkah yang saya kongsi ini hanyalah secebis pengalaman saya sahaja, bukan perkongsian dari seorang pakar :)

1. Jawab semua soalan.
Saya sedaya upaya tidak mengabaikan soalan yang diajukan. Malah setiap soalan yang ditanya saya akan jawab dengan betul walaupun saya rasa Zahra belum memahami apa yang saya maksudkan. Memang agak sukar untuk istiqamah dalam perkara ini, lebih-lebih lagi ketika saya sedang memandu atau berbual-bual dengan orang lain. Zahra akan ajukan soalan secara bertubi-tubi, kadang-kadang saya usahakan juga menjawab soalannya dan kadang-kadang saya meminta dia menunggu sehingga saya selesai berbual.

2. Jawapan yang betul.
Bila diajukan dengan soalan yang sukar, saya tetap memberikan jawapan yang betul tanpa merendahkan tahap IQ dia. Sebanya bila diperhatikan, walaupun Zahra belum memahami apa yang saya sampaikan, jawapan saya itu tetap lekat dalam ingatannya. Dan pernah juga, dia sendiri mengulanginya dengan tepat tanpa memahami maksud. Pada saya, kefahaman itu akan datang kemudian, yang penting apa yang saya ajarkan pada Zahra adalah perkara yang betul.

3. Tidak Pelat.
Saya juga tidak bercakap dengan Zahra dengan pelat atau menggunakan loghat yang bercampur-campur. Percakapan saya adalah Bahasa Melayu standard. Misalnya ketika saya mengajar dia untuk bersalaman, saya mengajarnya untuk salam (bukannya amin), ketika mahu makan, saya mengajaknya untuk makan (bukannya mamam), dan mengajarnya untuk membuang air besar, saya mengajarnya menyebut berak (bukannya yak yak).

4. Kaitkan yang berkaitan
Ketika menonton rancangan TV, saya akan merangsang daya tumpuan Zahra dengan memberi respond pada apa yang diulasnya. Saya akan memastikan, apa yang diulas adalah betul dengan apa yang ditonton. Misalnya jika dia sedang menonton rancangan memasak, saya akan membantu dia memahami rancangan memasak tersebut. Andai ada ulasannya yang kurang tepat seperti memasak ikan tetapi dikatakan memasak ayam, saya akan memperbetulkannya. Saya juga mengambil kesempatan ini dengan menyelit beberapa nilai moral seperti menjadi anak solehah dan taat pada perintah Allah. Contohnya ketika babak seorang ibu sedang berdoa, saya akan memberitahu Zahra supaya sentiasa berdoa dan rajinkan bersolat. Zahra akan mengulasnya dengan memberitahu dia sentiasa solat bersama Abinya. Saya akan menambah dengan memberitahunya agar tetap bersolat walaupun tidak bersama Abi. Memang apa yang dibincangkan ini bukanlah mengikut umur Zahra yang baru 2 tahun tetapi, ingatannya tetap ada tentang apa yang kami bualkan. Malahan pernah beberapa kali saya lihat Zahra duduk seolah-olah sedang berdoa seorang diri tanpa kehadiran Abinya. Dan bila saya bertanya dia menjawab, "Zahra doa tapi Abi tak ada". :)


Saya rasa cukup setakat ini dulu perkongsian saya tentang anak-anak. Jujurnya ini hanyalah perkongsian biasa yang saya harap mendatangkan manfaat untuk semua. Ianya bukanlah tips dari seorang pakar motivasi atau pakar pendidikan awal kanak-kanak, hanya sebuah coretan saya melalui pengalaman yang saya kutip sendiri. Semoga bermanfaat. Andai ada sebarang tambahan atau teguran, boleh tinggalkan di ruangan komen. Terima kasih! :)


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

1 comment:

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...