Tuesday, October 8, 2013

Nikmat Allah (Mawaddah dan Rahmah)

Salam.

Setiap kali mahu menulis, pasti saya mahu memulakannya dengan luahan rindu pada blog yang telah lama saya tinggalkan. Oh, kehidupan seorang isteri dan ibu sememangnya sibuk bahkan lebih sibuk dari apa yang pernah saya bayangkan. Walaupun sudah menghabiskan pengajian, saya masih rasa seperti tidak cukup rehat. Jadi saya terfikir, bagaimana dulu saya boleh membahagikan masa di antara keluarga, belajar dan menjahit? Sedangkan sekarang ini rasa seperti memerlukan bibik membantu melandaikan timbunan kerja rumah yang tak pernah selesai.

Bila ditanya pada suami, dia akan menjawab saya kekurangan masa kerana mahukan semuanya sempurna sedangkan saya sedang berbadan dua. Katanya dia tidak kisah jika pulang ke rumah dalam keadaan rumah yang berselerakan atau makanan yang belum tersedia berhidang. Dia sedia menyediakan makan malam untuk kami sekeluarga. Oh, suami saya yang selalu mengingatkan saya tentang cintanya yang tidak beteori dan tanpa syarat. Semoga Allah membalas kesemuanya dengan balasan syurga!

Duduk seharian dengan anak-anak menjadikan saya bahagia, melihat mereka membesar dengan  sihat dan cerdas. Mendengar butir perbualan Zahra yang tidak pernah habis dan lasaknya Wardah sehingga membuatkan saya lelah. Sungguh, anak-anak ini penyejuk mata. Kata adik saya, semenjak menjadi ibu, fikiran saya hanya berkisarkan tentang anak-anak dan keluarga. Begitu juga dengan suami, katanya kepuasan saya bukan lagi pada jubah mahupun aksesori wanita tapi lebih kepada keperluan anak-anak dan hiasan rumah. Saya sendiri tidak perasan tentang semua ini sehinggalah suami menunjukkan bukti kepada saya satu per-satu.




Alhamdulillah, walaupun keperluan saya secara tidak sengaja terabai, suami sentiasa ringan tangan dan ingatan membeli beberapa pasang baju dan keperluan untuk saya. Kadang-kadang, bagai dipaksa pula saya memilih baju yang berkenan dihati kerana mahu dibelikan. Terima kasih untuk ingatan dan kesanggupan yang sebegitu. Sungguh, semenjak mengahwini suami saya, cinta yang berputik semakin mekar melihat kesanggupannya bekorban dan bertolak ansur dengan kelemahan saya. Dialah orangnya yang tidak meminta-minta lebih dari kemampuan saya, malah dia melengkapi kehidupan saya dengan sentiasa menampung kelemahan saya dan menerima saya seadanya. Dan anak-anak yang Allah kurniakan ini, termasuk yang bakal lahir Disember nanti (insyaallah), semoga menjadi bekal untuk kita berdua...dunia dan akhirat!









Alhamdulillah sekali lagi..dan berkali-kali lagi untuk kesemua nikmat yang Allah berikan kepada saya. Cinta suami dan anak-anak, semoga semuanya membawa ke syurga.

p/s: Untuk yang berminat dengan kraftangan Felt, minta tinggalkan no telefon atau emel jika komen di blog ini. Atau anda boleh isi borang tempahan yang ada di blog Crafty Mommy. Terima Kasih.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...