Tuesday, October 2, 2012

Angan-Angan

Salam.

Minggu lalu, saya menjadi wakil seorang teman untuk mengambil jubah konvo miliknya di Universiti Malaya (UM). Saya merasai aura kebahagiaan setiap individu yang hadir di sana. Masing-masing ceria dengan jubah konvo di tangan. Akhirnya perjuangan mereka di UM tamat setelah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan. Saya melihat pasangan India yang membawa seorang anak kecil. Saya jadi terharu. Perlahan-perlahan saya melihat diri saya, suami, Zahra dan adiknya berada di ruang legar CAC, UIAM. Saya sedang beratur mahu menganbil jubah konvo sambil memerhatikan Zahra yang berlari kegembiraan ke hulu dan ke hilir. Di belakang Zahra saya melihat suami saya mengendong anak kecil sekitar 8/9 bulan. Ya, ketika saya konvo tahun hadapan, saya akan punya dua orang anak. Saya akan naik ke pentas konvokesyen sebagai seorang ibu beranak dua. InsyaAllah! :')

Petang itu, pulang dari Klinik Gigi di Ampang, kami singgah di stesen minyak untuk menunaikan solat Asar. Kebetulan ketika selesai solat, seorang wanita bersama anaknya berusia linkungan 4 tahun masuk ke Musolla tersebut. Saya memerhatikan bagaimana anak kecil itu mengikuti setiap perbuatan ibunya. Mengambil wuduk, bersolat dan kemudian menadah tangan bersama mengaminkan setiap doa yang dipohon si ibu. Saya terharu lagi. Saya mahu mendidik anak saya seperti itu. Ringan sahaja dia mengikuti ibunya bersolat. Sekarang, kalau kami berhenti solat di mana-mana, saya akan meletakkan Zahra di depan sejadah dan bersolat di hadapannya. InsyaAllah tahun hadapan, saya dan Zahra akan bersolat bersama dan di hadapan kami ada adik Zahra yang ralit memerhati. Seperti mana keadaan Zahra sekarang ini. Dia belum pandai mengikuti saya bersolat, tapi ketika saya membaca doa dia akan mengaminkannya berkali-kali. :)


Ketika singgah ke pusat membeli belah sebelum pulang ke rumah, sekali lagi saya dijengah dengan bayangan masa hadapan. Saya melihat Zahra yang sudah pandai memberikan pandangannya tentang baju yang saya pilih, samada cantik ataupun tidak. Mungkin juga nanti dia sudah pandai memilih, baju apa yang dia mahu pakai dan warna apa yang menjadi kesukaannya. Sekarang ini, saya banyak berkongsi pendapat dan pandangan dengan suami. Setiap kali memilih baju, tidak kiralah untuk diri sendiri atau untuk anak, suami akan menjadi perunding imej yang setai. Dia akan memberi kritikan yang jujur untuk setiap pilihan saya. InsyaAllah, tahun akan datang, perunding imej saya bertambah, Zahra akan membantu sama memilih baju untuk adiknya. :)

Oh, terima kasih Allah kerana mengurniakan saya kebahagiaan dan keindahan yang membolehkan saya mengimpikan kebahagiaan yang lebih manis pada masa akan datang. Alhamdulillah!

p/s: Menulis dengan air mata yang bertakung, terharu. Emo sungguh!



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...