Tuesday, October 23, 2012

A Breakdown.

Salam

Saya mempunyai harapan untuk cuti pertengahan semester, harapan yang serius dan berharap Allah bersama saya dalam menunaikannya. Harapan saya untuk cuti semester kali ini adalah semoga Allah menyuntik kembali semangat untuk menamatkan pelajaran. Harapan yang benar-benar saya mahu Allah makbulkan!.

Kandungan saya kali ini agak mencabar. Kedudukan bayi sudah pun berada di bawah dan berada dalam keadaan bersedia. Bukanlah petanda yang baik kerana usia kandungan saya baru mencecah 7 bulan atau pun lebih tepat lagi 32 minggu. Saya sudah pun mula merasakan rasa sakit kontraksi palsu yang sering mengganggu tidur. Malah setiap kali bangun pagi rasa sakit pinggang dan sengal-sengal tulang belakang amat memeritkan. Akibatnya, tidur tidak lagi menjadi waktu rehat. Tambah mematahkan semangat, rasa sakit di bahagian bawah peranakan setiap kali saya berjalan. Kadang-kadang rasa sengal dan perit pada perut (seperti tertarik urat) selalu datang menyerang ketika bangun dari kerusi atau katil. Waktu itu saya berdoa di dalam hati agar bersalin secepat mungkin. Saya mahu kesakitan ini tamat begitu saja.


Tapi saya sedar, itu bisikan seorang ibu yang mementingkan diri sendiri. Saya beristighfar beberapa kali, janganlah Allah SWT menjadikan bisikan hati saya itu suatu doa. Biarlah menanggung sakit yang tidak seberapa ini berbanding ujian menjaga anak pra matang yang berisiko tinggi. Mengikut pengalaman sepupu dan cerita-cerita yang saya dengar, anak pra matang lebih sensitif dengan keadaan sekeliling dan akan ditahan di hospital untuk sekurang-kurangnya sebulan. Menjaga anak pra matang benar-benar mencabar, mereka mudah terdedah kepada bahaya, malah udara dan tangan yang tidak bersih juga boleh membawa kepada kematian. Saya tidak mahu menanggung risiko seperti ini. Jadi, biarlah saya menahan kesakitan. Ya Allah, lahirkanlah anak yang ku kandung ini dalam keadaan sihat dan sempurna. Jadikanlah dia seorang pejuang agamaMu, seorang yang bermanfaat kepada orang lain dan berbakti kepada ibubapanya.

Saya dijangka bersalin pada akhir Disember dan saya amat berharap dikurniakan rezeki untuk melahirkan bayi pada tarikh jangkaan. Sebabnya ada dua:

1. Tarikh jangkaan (expected due date) memang sudah mendahului jadual peperiksaan. Hendak atau tidak, saya terpaksa memohon untuk menduduki Peperiksaan Khas (Special Exam). Jadi, biarlah saya bersalin tepat pada waktunya supaya saya boleh menghadiri semua kelas tanpa ketinggalan mana-mana pelajaran dan berada dalam keadaan bersedia semasa menghadapi peperiksaan nanti.

2. Jika waktu kelahiran lebih awal dari tarikh jangkaan, saya terpaksa bercuti dan tidak menghadirkan diri ke kelas. Ditambah pula dengan komitmen untuk menjaga bayi pra matang, tentu sukar untuk saya menumpukan perhatian dan mengejar kembali pelajaran yang ketinggalan. Dalam masa yang sama, saya tetap perlu menghadapi peperiksaan tepat pada tarikh yang ditetapkan tanpa ada sebarang penangguhan. Ini yang merisaukan. Saya bimbang gagal menjawab dengan baik atau lebih buruk lagi, gagal terus!.

Kerisauan dan rasa sakit ini sering bermain-main di fikiran sehinggakan kebanyakan masa dihabiskan untuk merungut tentang rasa sakit atau menangis kerisauan dan putus asa. Beberapa hari saya kemurungan, bukan kemurungan biasa, tapi kemurungan yang serius. Saya menangis teresak-esak sehingga membimbangkan suami. Lagaknya seperti budak-budak yang didera sahaja. Saya jadi sangat sukar mengawal emosi, bercakap saja tentang pelajaran, saya menangis, lihat saja gambar orang lain konvo, saya menangis. Semuanya menjadi haru biru dan tidak menentu.

Saya semakin berputus asa dan hilang keyakinan tentang kemampuan saya untuk menamatkan pelajaran. Lebih buruk lagi, saya merasa rendah diri yang teramat sangat. Saya berfikir, "Apalah nilai saya berkonvo nanti. Umur sudah pun 26 tahun tapi saya baru sahaja menamatkan Sarjana Muda. Bagai tidak ada pencapaian dalam hidup". Mendengarkan rungutan itu, suami menasihati dengan tegas. Dia bertanya tentang erti dirinya dan Zahra dalam hidup saya. Dia bertanya lagi, apa sebenarnya yang saya mahukan?. Adakah mencapai sesuatu dalam erti kata yang sebenar atau sekadar membuktikan kepada orang ramai saya juga boleh melakukan seperti yang dilakukan orang lain.

Pertanyaan-pertanyaan ini membuatkan saya termangu dan berfikir panjang. Setiap tutur kata suami saya, ada benarnya. Mengapa perlu saya rasa rendah diri konvo pada umur 26 tahun?. Kenapa perlu saya merasa tidak mempunyai apa-apa kejayaan dalam hidup sedangkan saya punya suami dan anak-anak. Dan kami juga hidup dalam keadaan yang baik dari hari ke hari (Alhamdulillah!). Semua ini hanya satu bisikan syaitan yang mahu saya berputus asa dan lemah semangat. Saya diam, berfikir dengan mendalam. Sebelum kami melelapkan mata suami mengingatkan saya sekali lagi.

"...Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir". (Yusuf:87)

Saya menangis sekali lagi tapi kali ini bukan air mata putus asa yang menitis. Air mata itu digantikan dengan rasa bersalah pada suami dan rasa kesal dengan tindakan saya yang terlalu mengikut emosi dan hormon (sempat lagi menyalahkan hormon!). Ya Allah, suntikkanlah semangat ke dalam diri saya. Semangat yang akan sentiasa mengalir dan terus mengalir biarpun saya diuji (Nauzubillahiminzalik) dengan dugaan yang lebih hebat lagi. Saya tidak mahu tergolong di dalam golongan kaum yang kafir atau kufur nikmat. Saya mahu mengakhiri hidup saya dalam keadaan "khusnul khatimah".

Semoga Allah permudahkan semuanya. Saya merancang dan Allah juga merancang. Dan saya pasti rancangan Allah itulah yang terbaik untuk saya kerana Dia pemilik segala isi yang berada di dunia ini. Dia yang mencipta kita, pastinya Dia lebih tahu mana yang baik dan mana yang buruk untuk makhlukNya. Tanggungjawab saya mempercayai sepenuhnya segala rancangan Allah dan redha dengan ketentuan Qada' dan Qadar. InsyaAllah!.


p/s: Saya menulis entri ini dengan tujuan untuk memberi semangat dan berkongsi pengalaman dengan pembaca. Mana tahu, dengan membaca coretan tidak seberapa ini, ada yang memperoleh inspirasi atau semangat mahupun mengambil iktibar dari kelalaian saya. Semoga penulisan ini memberi manfaat dan di ambil kira sebagai amalan saya yang tidak seberapa.

p/s: Saya mahu terus menulis. Menulis tentang apa sahaja yang terlintas di fikiran. Mudah-mudahan  kualitinya semakin baik dari hari ke hari.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

1 comment:

  1. nabila, jgn la sedih cmni. ko sedih aku pun sedih. Aku doakan baby selamat keluar bulan 12 ni. atau lepas exam. insyaAllah. kita sama2 convo. xde bezanya cepat atau lambat, tp kita tetap same2 akan convo. kuatkan semangat. aku pun blm tentu bleh tamat sem ni sbb tkut ade yang sangkut ke. sabar ye. kesian kt baby, zahra n hubby ko. aku tau ko seorg yang kuat. Insyaallah Allah tolong ko. jangan pikir bukan2, nnt kalo stress baby dlm perut pun stress. lagi rase dia mcm nk kuar cpt kot. Ko kuatkan semangat ye. aku tau ko boleh. selama ni pun ko boleh kuat, takkan yang ni pun ko tak boleh buat. insyaallah ko kuat. jgn buat byk benda sgt. ko fikir study je..k..take care dear. Moga Allah sentiasa bersamamu & family.

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...