Sunday, August 26, 2012

Perjalanan Balik Kampung: Peringatan Yang Dekat

Salam.

Agenda sambutan Aidilfitri tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Kami bercadang untuk berpuasa selama dua hari di Kelantan sebelum pulang berhari raya bersama keluarga suami di Terengganu. Perjalanan jauh sangat memenatkan kerana kesesakan lalu lintas bermula semasa berada di Pahang lagi. Kereta hanya menyusuri jalan raya dengan kelajuan 40 KM/J. Saya merasa tertekan, bosan dan lenguh-lenguh badan kerana terlalu lama berada di dalam kereta.

Keadaan jalan yang hanya satu lorong tambah merumitkan keadaan, lebih-lebih lagi apabila bertembung dengan lori dan bas ekspres. Bahaya menanti setiap kali ada kereta yang cuba memotong. Dalam keadaan penat begini, ramai yang hilang fokus. Akibatnya, banyak yang terlibat dengan kemalangan kecil. Tidak kurang juga yang tidak bernasib baik kerana kereta rosak akibat panas enjin. Pemandangan di tepi jalan raya dipenuhi dengan kereta tersadai kerana kerosakan mahu pun sekumpulan orang berkumpul dan berbincang mengenai penyelesaian terbaik untuk kemalangan yang mereka hadapi. Kami sekeluarga berdoa agar Allah mempermudahkan perjalanan ini, tidak mahu terlibat dalam kemalangan atau pun diuji dengan kerosakan kereta.

Kematian sangat dekat. Itu yang saya rasai sepanjang pulang ke Kelantan. Perjalanan kali ini sungguh menginsafkan. Hati jadi sayu dan sedih apabila melihat sekujur tubuh pembonceng motosikal di bahu jalan. Dua hari lagi Syawal akan tiba dan dia tidak sempat meraikannya bersama keluarga. Ajal itu datang tanpa memberikan sebarang amaran dan tidak tertangguh walau sedikit pun. Adakah dia tahu Ramadhan kali ini adalah yang terakhir buatnya?. Hati saya jadi sayu. Adakah saya sempat menemui keberkatan Ramadhan tahun hadapan?. Ya Allah, masih belum cukup amal ibadat dalam tapak tangan ini.

Perjalanan lancar untuk beberapa ketika dan kemudian perlahan semula. Seperti biasa, ada saja ada kemalangan di hadapan. Bezanya seserius mana kemalangan itu. Saya berbual-berbual dengan suami, tidak mahu dia mengantuk dan dalam masa yang sama seboleh-boleh saya mahu memastikan dia fokus pada pemanduan. Saya menjadi mata keduanya, melihat keadaan jalan dan memberi peringatan jika merasakan jarak antara kereta terlalu dekat atau pun dia sudah sedikit mengambil jalan di lorong bertentangan.

Perjalanan semakin lancar dan pemanduan sedikit merehatkan apabila mula memasuki Kelantan. Selepas melepasi Gua Musang (sebelum tiba di Dabong) kelihatan sebuah kereta yang dihempap pokok berhenti di tepi jalan, kami memperlahankan kenderaan dan melihat-lihat jika ada kemalangan jiwa yang berlaku. Melihatkan keadaan yang terkawal, kami menarik nafas lega dan bergerak perlahan-lahan untuk beredar. Tiba-tiba ada seorang lelaki melambai, saya merenung ke arahnya. Ya Allah, ada sebuah kereta lagi yang terlibat sama dalam kemalangan tersebut. Kereta mereka sedikit tersorok kerana terperosok di dalam gaung. Melihat asap yang berkepul naik, saya menjerit kepada suami, "Awak, ada kereta di dalam gaung". Kereta diberhentikan dan suami keluar membantu mangsa. Keadaan jalan yang tenang mula menjadi sesak apabila orang ramai datang membantu. Saya melihat suami dari bahu jalan, berhati-hati turun ke dalam gaung sambil mengalihkan serpihan besi yang menghalang laluan. Hati saya berdebar-debar, lebih-lebih lagi di saat suami dan orang ramai yang membantu mendekati kereta tersebut, kereta itu semakin terperosok ke dalam. Gemuruh jeritan orang ramai membuatkan saya kecut perut.

Saya memandang Zahra yang lena di dalam car seat sambil mengusap-ngusap bayi di dalam kandungan. Ya Allah selamatakanlah suamiku, selamatkanlah mereka yang berada di dalam kereta itu dan selamatkanlah mereka yang membantu. Usaha menyelamatkan mangsa seramai lima orang sedikit rumit memandangkan keadaan kawasan sekitar yang curam. Tidak lama kemudian saya mendengar lauangan suami, "sambung-sambung". Dari jauh saya melihat orang ramai bergabung tenaga, berpegangan tangan beramai ramai untuk memudahkan mangsa naik ke tebing. Kelibat suami saya tidak kelihatan kerana dia berada di bahagian paling dekat dengan kereta mangsa. Asap yang berkepul masih kelihatan, pelbagai kemungkinan terlintas di fikiran. Hati saya berdebar-debar. Beberapa kali saya bertanya pada adik yang berada lebih dekat dengan tempat kemalangan tentang suami. Dia menjawab dengan muka cemas, "Ok".

Masa kian berlalu, saya sudah mula tidak mempedulikan keadaan mangsa yang berjaya di naikkan satu persatu. Mereka duduk kebingungan di bahu jalan dan salah seorang di antara mereka yang pada awalnya sedar telah pengsan. Orang ramai mendekati dan berusaha untuk memeriksa keadaan remaja itu. Saya tidak dapat fokus, masih lagi mencari kelibat suami. Semua mangsa selesai diselamatkan tetapi suami masih belum selamat berada di sisi saya. Hati saya mula gelisah, Allah saja mengetahui ketakutan saya ketika itu. Beberapa minit kemudian barulah saya melihat suami. Syukur Alhamdulillah, tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan tiada nyawa yang terkorban.

Saya mengambil alih pemanduan, suami duduk kepenatan di sebelah saya. Kakinya sedikit terluka, mungkin bercalar terkena rumpun-rumpun berduri di dalam belukar di tepi gaung tadi. Berkali-kali saya memanjatkan syukur ke hadrat Illahi dan acap kali juga saya memberitahu suami betapa saya menyayanginya. Alhamdulillah, kami selamat sampai selepas azan Maghrib berkumandang. Walaupun berbuka puasa di dalam kereta, nikmatnya ternyata berbeza untuk hari ini.

Terima kasih Allah kerana menyelamatkan suami saya dan semua yang terlibat di dalam kemalangan tersebut. Untuk mereka yang membantu, saya mendoakan pahala puasa mereka dilipatgandakan Allah SWT. Semoga pertolongan yang dihulurkan menambah keberkatan di dalam kehidupan mereka.



Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...