Thursday, June 28, 2012

Diari Tertunggak

Salam

Tersangatlah lama saya bercuti dari menulis blog. Ada beberapa perkara yang saya mahu catatkan disini.

2nd Pregnancy

Saya memberikan reaksi ekstrem bila mendengar ringtone handphone adik. Terasa seperti nak muntah yang amat sangat, kepala jadi pening dan dada berdebar-debar. Malam itu saya terus memaksa En. Suami membeli Pregnancy Test di farmasi berdekatan rumah. Seperti yang sedia maklum, untuk mendapatkan keputusan yang terbaik, seeloknya test dijalankan sebaik sahaja bangun pagi. Tapi disebabkan perasaan excited yang terlampau, sebaik saja terjaga jam 1 pagi, saya dah pun bersiap sedia melakukan test. Dan ya, positif! Alhamdulillah, syukur ke hadrat illahi kerana dimurahkan rezeki untuk menimang seorang lagi cahaya mata. Terima kasih Allah.

Saya menyambung tidur, sedaya upaya melelapkan mata dan menahan perasaan. Kalau boleh saya tidak mahu menganggu lena suami yang kepenatan setelah berpenat lelah mengikuti perjuangan Bersih 3.0. Namun apalah daya saya, rasa teruja yang teramat sangat menjadikan saya seorang 'kejam', pagi-pagi itu juga saya kejutkan suami untuk memberitahu beliau berita tersebut. Hasilnya, dalam keadaan mamai, suami termenung seketika dan memberi reaksi 'Kita tidur dulu, esok kita bincang'. Saya akur, berjalan penuh semangat ke katil dengan senyuman ibu mengandung.

Perkembangan Zahra

Alhamdulillah, Zahra sekarang sudah boleh melangkah. Habis segenap sudut rumah di jelajah. Malah ketika kami sibuk menguruskan kerja rumah, ketika itulah dia bersemangat mengekori ke mana saja kami pergi. Kita sibuk, dia pun mahu menyibuk. Saya suka melihat dia berjalan, lebih-lebih lagi bila mengunjungi taman atau pusat membeli belah. Zahra teruja 'mendapat kaki', kalau boleh ke mana sahaja dia mahu berjalan sendiri. Tapi untuk sentiasa melepaskan dia berjalan, saya tak berani. Saiznya yang kecil, setinggi paras lutut menyukarkan dia untuk dilihat orang ramai. Pernah sekali sewaktu saya menunggu giliran untuk menunaikan solat Maghrib, Zahra jatuh terjelepuk ke lantai dilanggar seorang remaja yang kalut mahu ke surau. Saya tidak menyalahkan sesiapa, dalam keadaan sibuk begitu, tentu tak terlihat budak bersaiz kecil yang sedang terhuyung hayang teruja berjalan. Alhamdulillah, jatuh biasa, Zahra tidak menangis cuma saya sedikit segan dengan orang ramai. Entah apa yang nak disegankan pun saya tak pasti, yang saya tahu, saya memang segan ketika itu. :p

2nd Anniversary

Pada awalnya, kami merancang untuk menyambutnya dengan makan di Restoran Tupai-Tupai tapi hajat ini tidak kesampaian kerana saya dan Zahra keracunan makanan yang teruk. Hasil dari meminum air bandung ketika mendaftarkan adik saya di KUIS. Bertambah parah, sudahlah keracunan makanan di hari ulang tahun, peperiksaan juga jatuh pada hari yang sama. Akibatnya saya memohon untuk menunda peperiksaan dan mengambil special exam. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar, saya sudah pun menduduki peperiksaan tersebut dan keputusannya sudah pun saya ketahui semalam. :)

Saya dan Study

Bercakap tentang study, ada perkara sedih yang perlu saya hadapi. Mengikut perancangan saya sebagai seorang hamba Allah, saya akan menamatkan pengajian saya pada sem panjang akan datang dan akan convo bersama rakan-rakan tahun berikutnya. Tapi kita hanya merancang, Allah yang menentukan segalanya. Sem pendek ini saya gagal untuk mendaftar lebih dari 1 subjek, akibatnya sem terakhir itu saya perlu mengambil 7 subjek serentak. Pening kepala saya memikirkan kemampuan dan keadaan saya ketika itu. Hati saya berat untuk menambah sem kerana sebolehnya saya mahu habis belajar bila sudah beranak dua. Saya mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada rumah tangga dan anak-anak sebelum menimbang balik untuk menyambung pelajaran ke pringkat Master. Tapi untuk membebankan diri dengan 7 subjek ketika sedang sarat mengandung saya jadi bimbang. Apakah saya mampu melakukannya? Saya risau akan terkandas lebih banyak subjek dan tertekan di trimester akhir kandungan.

Saya menangis beberapa kali, bingung untuk membuat keputusan. Namun alhamdulillah, Allah menghadirkan beberapa insan memberi pandangan. Suami, sahabat dan ayah mertua saya semuanya memberikan pendapat yang sama. Mahu saya memanjangkan sem dan belajar dalam keadaan yang tenang. Mereka tidak mahu saya tertekan dan menganggu kesihatan bayi di dalam kandungan. Hujah bertambah relevan apabila ayah mertua saya memberitahu, apa yang penting sekarang ini adalah keupayaan saya menamatkan pelajaran, bukannya bila saya menamatkan pelajaran. Suami menyokong dan mengembirkana hati saya apabila mengingatkan saya tentang hari convocation yang tidak berubah walaupun saya extend sem, saya tetap akan convo bersama rakan-rakan yang lain. InsyaAllah. :)

p/s: Mama dan abah seperti biasa, keputusan terletak di tangan saya. mereka menerima seadanya dan akan menyokong keputusan saya.

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangkan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya. Ameen.


Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

No comments:

Post a Comment

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...