Wednesday, January 5, 2011

Air Mata 2011

Salam

2011 sudah pun menjelang, pelbagai harapan dan impian yang disandarkan pada tahun ini. Bukan kerana istimewanya 2011 tapi memang sudah menjadi kebiasaan, asal saja tahun baru mulalah kita semua mencanangkan impian dan memanjatkan harapan. Saya juga tidak terlepas untuk memanjatkan doa, mohon kebaikkan, kesabaran dan keteguhan iman.

Tahun ini, tahun baru hijrah lebih terasa bermakna berbanding tahun baru...(kalau guna kalendar biasa kita panggil apa ya?)... Ucapan menyambut tahun baru Islam menghujani inbox handphone saya berbanding tahun 2011 yang senyap sunyi tanpa sebarang ucapan. Saya tidak kisah, ingatan dan doa-doa sebegitu, tidak perlu tunggu tahun baru, bila-bila masa pun saya alu-alukan.

1432H/2011-Tahun baru ini membawa banyak erti dalam kehidupan saya dan suami. Tahun ini lah kami bakal menimang cahaya mata dan menjalani kehidupan sebagai ibu dan bapa. InsyaAllah. Tentunya pengalaman itu akan memberi makna yang berbeza. Mana tidaknya, mengandung sahaja sudah cukup menguji, apatah lagi melahirkan dan membesarkan.

Pada saat awal saya mula diserang 'morning sickness', rasa lemah dan tidak bermaya lebih menguasai diri. Saya menangis mengenangkan perut yang berkeroncong kelaparan tapi bila disuakan makanan saya memuntahkannya kembali. Perut yang kembung sepanjang hari dan rasa bengkak yang menganggu tidur saya (tidak boleh mengiring), benar-benar menganggu mood saya. Saya jadi terlalu emosi, akibatnya saya menangis untuk setiap perkara mahupun sekecil-kecil peristiwa. Kelas-kelas di pagi hari saya tampil agak lewat dengan wajah yang pucat lesi kerana terlalu lama mengambil masa di dalam bilik air. Semuanya seakan-akan tidak kena. Saya jadi benci kepada banyak perkara, bau masakan, bau pewangi, bau nasi dan sebagainya.

Saya adukan kepada mama dan mama menjawabnya ringkas 'sebab itulah syurga dibawah tapak kaki ibu'. Letak saja telefon saya menangis semahunya. Sedih. Pelbagai imaginasi terlintas di fikiran, saya terkenangkan sikap degil saya terhadap mama, membantah mahu melakukan sesuatu mengikut kemahuan saya sahaja. Mama maafkan dosa-dosa saya. Panjang fikiran saya menjangkau, kepada pelbagai perkara yang mungkin saya akan lalui sebagai seorang ibu. Betapa saya mahukan anak-anak saya mendengar pendapat saya bila saya mengutarakannya, tidak menghukumi saya bila saya melakukan kesalahan dan yang paling menyentuh saya hingga ke dasar hati ialah perasaan yang mahukan anak-anak saya memerlukan saya sampai bila-bila.

Terlalu banyak air mata ini tumpah, bahkan suami saya yang berada di pejabat turut terganggu bila mana saya menelefonnnya dalam keadaan teresak-esak kerana tidak tahu menjawab soalan Finance. Emosi saya tidak terkawal. Mama menegur tegas, meminta saya mengawal emosi untuk kebaikkan saya dan kandungan. Ada peningkatan, walau saya masih lagi menistiskan air mata walau keadaan tidak seserius mana. Harapnya saya akan terus berubah, memantapkan ibadah dan mengawal perasaan yang gundah. InsyaAllah

Semoga Allah menempatkan saya dan keluarga di dalam golongan yang memperjuangakan agamaNya. Yang sentiasa mencari keredhaanNya.

Semoga setiap amalan diterima, setiap langkah dibawah redhaNya. Ameen.

2 comments:

  1. salam tahniah kak nabila...^__^
    semoga bayi dlm kndungan sihat2 sme mcm mak dia gak...semoga dipermudahkan segalanya...=)

    ReplyDelete
  2. To Neszh Norts

    Salam. Thanks. Doakan akak selalu k. Nnt bla dh deliver baby jgn lupa melawat tau! :)

    ReplyDelete

Feel free to leave words. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...